Merupakan seorang tokoh dalam ilmu nahu yang begitu terkenal kerana menghasilkan karya-karya yang hebat dan dijadikan sumber rujukan utama.
Penulis berkesempatan menziarahi maqam Ibnu Hisham al-Ansory pada Sabtu 7 Mac yang lalu menyertai Ziarah Maqam anjuran KPP. Ini merupakan jaulah penulis yang entah kali ke berapa selama berada di Ardil Kinanah ini. Program Ziarah Maqam/Jejak Aulia' ini kerap diadakan oleh persatuan-persatuan anak negeri ke arah memupuk rasa cinta kepada Ali Bait Rasulullah dan para aulia solihin.
Kesempatan jaulah ziarah kali ini, penulis hanya berkesempatan menziarahi lebih daripada 20 maqam sahaja antaranya Maqam Uqbah bin 'Amir r.a (salah seorang sahabat Rasulullah yang membuka Afrika Utara), Imam Syafie, Ibn Hajar al-'Asqolani (pengarang Fathul Bari syarah kepada Sahih al-Bukhari), Rabi'atul Adawiyah, Zunun al-Misry, Ibn 'Atoillah as-Sakandari (pengarang al-Hikam), Ibn Daqiq al-'Aid (seorang ulama mazhab Syafie), Imam Hassan al-Banna, Ibn Sirin (pengarang Tafsir Ahlam) rahimahumullah ajma'in. dan beberapa maqam Ali Bait seperti Sayyidah Zainab , Sayyidah Sukainah, Sayyidah Ruqaiyyah, Sayyidah Nafisah dan ramai lagi. Sebenarnya, ada beberapa maqam yang tak sempat diziarahi seperti Imam Sayuthi, Imam Syatibi, Imam Laith dll.
Cuma di sini penulis ingin menceritakan serba ringkas tentang Ibnu Hisyam (Abdullah Jamaluddin bin Yusuf bin Ahmad bin Abdullah bin Hisyam al-Ansory), maqam beliau terletak di kawasan Bab Nasr, tidak jauk dari Darrasah (kawasan yang menempatkan Jami' al-Azhar, Masjid Hussein dan Bazar Khan al-Khalili). Maqam ini agak uzur dan biasanya sentiasa berkunci. Hanya diziarahi dari luar sahaja.
Baliau dilahirkan di Kaherah pada 708 H (1309 M). Ibn Khaldun pernah berkata ; Ketika kami berada di Maghribi kami mendengar bahawa telah muncul di Mesir seorang yang alim dalam Bahasa Arab, disebut sebagai Ibn Hisyam dan lebih pakar daripada Sibawaih.
Beberapa karya beliau yang masyhur adalah أوضح المسالك Awdoh al-Masalik 4 juz(syarah kepada Alfiah Ibn Malik), قطر الندى وبل الصدى Qatrunnada wa Ballussoda, شذور الذهب Syuzur Zahab dan مغني اللبيب Mughni Labib. Kitab Awdoh Masalik telah dijadikan silibus subjek Nahu di Fakulti Bahasa Arab Universiti al-Azhar (Juz 1 untuk Tahun Pertama dan seterusnya).
Perlu diingatkan, Ibn Hisyam ini BUKAN pengarang Sirah Ibn Hisyam, walaupun terdapat persamaan pada nama. Pengarang kepada Sirah tersebut adalah Ibnu Hisyam (Imam Abd Malik bin Hisyam bin Ayyub al-Mu'afiri) yang wafat pada 213 H.
0 respon:
Catat Ulasan