Dokumen Panduan Mata Pelajaran al-Syariah (KBD)

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi sekolah yang menggunakan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) mata pelajaran al-Syariah di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) digubal untuk memenuhi keperluan membina dan membentuk peribadi muslim yang memahami, mengamalkan dan menghayati Islam secara menyeluruh.

Kurikulum al-Syariah memberi penekanan kepada aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan. Melalui kurikulum ini murid dibekalkan dengan pengetahuan tentang al-Quran wa al-Hifz, Fiqh al-Ibadah, Fiqh al-Munakahat, Fiqh al-Muamalat dan Fiqh al-Jinayah. Murid bukan sekadar dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, malah mereka dididik untuk mengamal dan menghayati ilmu yang dipelajari. Melalui kurikulum ini juga murid diberi pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi mengenai pelbagai persoalan hukum dan isu semasa agar mereka mampu membangunkan diri serta masyarakat berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Kurikulum al-Syariah digubal bagi melahirkan murid yang mampu mengintegrasikan tuntutan fardu ain dan fardu kifayahdalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah AllahSWT. Murid juga dibimbing agar boleh menghubungkait antara ilmu aqli dan ilmu naqli untuk memberi sumbangan kepada tamadun umat. Bagi mencapai hasrat ini proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Untuk membolehkan murid dinilai dengan lebih autentik dan holistik pelbagai kaedah pentaksiran digunakan. Pentaksiran formatif dijalankan secara berterusan semasa pengajaran dan pembelajaran untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Pentaksiran sumatif dilaksanakan untuk menentukan tahap penguasaan dan pencapaian murid.

Adalah diharapkan melalui kurikulum al-Syariah ini dapat melahirkan murid yang memahami, mengamal dan menghayati Islam secara menyeluruh. Melalui pendekatan ini juga, cita-cita untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis akan tercapai.

Dipetik daripada DSKP Al-Syariah
Terbitan Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM


Komponen al-Syariah Tingkatan 1 hingga 5 :



Untuk muat turun DSKP, sila klik pada imej-imej di bawah:


Semoga bermanfaat.