Kesiannya..

"Mahukah seorang di antara kamu mempunyai kebun yang mengandungi kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai; di dalamnya juga terdapat segala macam buah-buahan, sedangkan dia ketika itu telah tua uzur dan anak-anaknya pula masih kecil. Kemudian kebun itu dilanda puting beliung yang membawa api lalu marak menyala. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu memikirkannya." al-Baqarah 266.

Alhamdulillah, dalam ruangan Indahnya kita akan meneliti beberapa petikan ayat sama ada daripada al-Quran, Hadis atau sastera Arab yang difikirkan menarik untuk sama-sama kita nilai ketinggian dan keindahan bahasanya. Untuk entry kali ini, ana memilih untuk sama-sama kita bincang dan merenung ayat 266 surah al-Baqarah, perlu diingat, ana bukan mentafsir sekadar menterjemahkan tafsiran yang sudah ada dalam bentuk yang lebih mudah dan menarik. Segala teguran amatlah dialu-alukan.

Sepintas lalu membaca ayat dan terjemahannya di atas, mungkin sahabat-sahabat belum nampak di mana indahnya Kalam Tuhan tersebut. Walaupun tak nampak, tetapi aqidah kita tetap meyakini bahawa sememangnya dan sesungguhnya Kalam Tuhan itu indah. Betul, kita saja yang tak nampak. Sebab apa tak nampak, sebab kita malas nak belek dan perhatikan betul-betul, jauh sekali nak fikir. Betul kan? Maka, diri yang lemah ini cuba membuka mata sahabat-sahabat untuk nampak dan melihat di manakah ketinggian dan keindahan Kalam Tuhan ini.

Insya Allah, kita akan cuba perhatikan satu persatu secara ringkas tetapi berkesan. (Sebab ana tau, bukan semua orang suka baca entry yang panjang-panjang);

Pertama, kalimah (أيود) datang dalam bentuk persoalan. Tetapi bukanlah untuk kita jawab, tetapi untuk menarik perhatian kita. Pertanyaan MAHUKAH pastinya membuat kita tertanya-tanya apakah benda yang ingin diberikan dan mestilah benda itu selalunya menarik. Benda itu kita akan tahu selepas ini dan jawapan kepada persoalan MAHUKAH itu pun akan terjawab dengan sendirinya.

Kedua, benda yang dimaksudkan adalah (جنة) iaitu kebun. Bukan sekadar kebun kosong tetapi kebun yang penuh dengan (نخيل وأعناب) kurma dan angur. MAHUKAH kamu? jangan jawab lagi..

Ketiga, kita follow lagi ayat tu, kebun tu bukan saja penuh dengan buah bahkan ada juga (الأنهار) iaitu anak-anak sungai yang bukan bertakung tetapi mengalir. Ini membuktikan kebun ini memang subur kerana pengairannya yang baik. MAHU ke tidak? takkan tak mau.

Keempat, kalau dah kebun tu subur, takkan ada kurma dengan anggur ja? Tidak! (كل الثمرات) dan bagi pemiliknya di kebun itu juga terdapat segala macam buah-buahan. Masya Allah, sapa tak mau kebun yang macam ni kan.

Kelima, (وأصابه الكبر) pemiliknya sudah tua uzur yang hanya mampu goyang kaki melihat dan menuai hasil kebunnya dan (ذرية ضعفاء) anak-anaknya pula masih kecil dan lemah. Tetapi adakah si tua ini mampu manuai dan menikmati hasil kebunnya?

Keenam, alangkah malang nasibnya.. kebun yang begitu subur ditimpa (إعصار) puting beliung. Bukan sekadar itu, puting beliung yang menimpa bukan sekadar meranapkan kebunnya, bahkan turut membawa (نار فاحترقت) api yang membakar habis sisa-sisa kemusnahan kebunnya.

Dah dapat jawapan? Mau ke tak? Mesti mau dapat kebun yang macam tu tapi na'uzubillah ditimpa bala macam tu. Apa sebabnya berlaku macam tu? Sebenarnya ayat ini merupakan gambaran atau tamsilan bagi orang-orang yang melakukan kebajikan dan kebaikan kemudian dia dihasut oleh syaitan. Lalu segala amalan kabaikannya terhapus tanpa sisa walau sedikit. Ruginya..

Kita flashback kembali ayat di atas dan kita cuba kaitkan dengan makna di sebalik ayat tersebut. Kebun yang cukup kaya dengan kurma dan anggur serta subur dengan anak-anak sungai ditambah pula dengan segala macam buah-buahan yang ada merujuk kepada orang soleh yang cukup banyak amalannya yang tidak terhingga. Lalu dia disesatkan oleh syaitan, maka amalan kebajikannya seumpama kebun-kebun tadi yang musnah dipukul ribut dan dijilat api. Bagaimanakah perasaan si tuan kebun tadi? Pastinya merasa kesal yang amat sangat kerana kebun yang telah digambarkan di atas cukup perfect.

Mungkinkah si tuan kebun berpeluang untuk menanam semula setelah kemusnahan tersebut? Mungkin ada peluang kedua.. Tidak, perhatikan (وأصابه الكبر) dan (ذرية ضعفاء) bagaimana mungkin sedangkan dia telah terlalu tua dan anak-anaknya masih kecil dan lemah. Tak mungkin kebun itu akan dapat semula dalam tempoh yang singkat. Begitu juga halnya dengan orang soleh tadi, setelah dibangkitkan di Akhirat mana mungkin untuk dia kembali beramal seperti mana dia di dunia dahulu dan tidak dapat berharap kepada anak-anaknya kerana mereka sendiri lemah.

Cuba kita fikir, (sebelum tu cuba ambil feel sikit dan lembutkan hati untuk menyelami kisah ini) adakah kita dapat mengetahui sejauh mana penyesalan dan kesedihan orang soleh tadi di Akhirat. Mesti tak jelas. Dengan gambaran yang diberikan oleh Allah Taala menerusi kisah si tuan kebun tadi yang mempunyai kebun yang bukan kosong tetapi penuh dengan kurma dan anggur. Bukan tu saja, ada sungai-sungai dan pelbagai buah-buahan. Memang teramatlah sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Tak tau nak habaq macam mana, kena rasa sendiri baru tau. Kebun yang subur yang pastinya disayangi, tiba-tiba ditimpa musibah. Bagaimanakah perasaanya. Ditambah lagi kesedihannya dengan keadaannya yang sudah tua dan anak-anak yang masih kecil, kebunnya pasti tidak dapat dikembalikan. Sedihnya berlipat ganda. Tak mampu untuk dinukilkan dengan tulisan, hanya hati yang lembut dapat menilai dan menginsafi kisah ini. Kesiannya..

Maha Suci Allah, alangkah cantik dan menarik serta indahnya Kalam Tuhan...Semoga kita tergolong di kalangan yang disebut di hujung ayat ini iaitu golongan yang memikirkan ayat-ayatNya dan dijauhkan daripada menjadi orang soleh yang terpedaya..Wallahu 'Alam.

Nota ; Di dalam ilmu Balaghah, item kedua hingga keenam disebut sebagai (التتميم) iaitu penceritaan secara sempurna dan terperinci.

Rujukan ; Tafsir Ibn Kathir dan I'rab al-Quran wa Bayanuhu.