Jangan dok ungkit dah!

Insya Allah untuk ruangan kali ini kita akan cuba sama-sama mentadabbur dan meneliti keindahan bahasa al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 264.


"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan mengejek (si penerima), seumpama orang yang menafkahkan hartanya dengan penuh riyak di hadapan manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Maka perumpamaan orang itu seperti sebuah batu besar yang licin terdapat tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan yang lebat lalu batu tersebut menjadi bersih. Mereka tidak memperolehi apa pun dari apa yang mereka lakukan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir."

Satu perumpamaan yang indah dan jelas bagi menggambarkan betapa ruginya orang-orang yang bersedekah secara riyak, kemudian mengungkit-ungkit dan menghina si penerima sedekah.

Cuba gambarkan dalam fikiran kita, ada seketul batu yang besar yang licin maksudnya tidak berlekuk dan terdapat pula tanah atau debu di atasnya. Biasa la kan...kita memang selalu jumpa batu-batu macam ni di tepi-tepi jalan. Allah Taala tidak menggunakan kalimah ( حجر ) yang merujuk kepada batu-batu biasa yang selalunya kasar dan berlekuk. Kenapa?

Kemudian, batu licin yang terdapat tanah tadi ditimpa hujan. Bukan hujan renyai-renyai. Tetapi kalimah ( وابل ) membawa maksud hujan yang lebat. Jadi apa lagi yang tinggal di atas batu tadi? Masih ada sisanya? Kalau batu tadi berlekuk, mungkin akan sisa walaupun sedikit yang terdapat di celah lekukan batu itu.

Natijahnya, Allah Taala menyatakan secara jelas ( فتركه صلدا ) maka yang tinggalnya hanya batu tersebut bersih tanpa sebarang kotoran. Perumpamaan ini cukup dekat dengan kita, kita tak perlu untuk membayangkan sesuatu yang jauh kerana batu ada di sekeliling kita. Cuma kita saja yang tidak cuba untuk memerhatikan alam sekeliling ciptaan Allah SWT. Subhanallah..

Berbalik kepada larangan Allah Taala, agar tidak riyak, tidak mengungkit-ungkit dan tidak mengejek si penerima, kerana kita sendiri yang akan rugi kerana tidak mendapat apa-apa hasil dari sedekah kita itu walaupun sedikit seumpama batu licin di atas. Allah juga menyebut secara jelas ( لا يقدرون على شيء مما كسبوا ). Cuba kita fikir, duit dah habis sedekah kepada orang tetapi pahala pula tak dapat. Apa yang dapat? Rugi...rugi..

Jadi, ikhlaskanlah sedekah anda..Wallahu A'lam

0 respon: