Tajuk ini agak berat, namun untuk memenuhi permintaan seorang sahabat yang meminta untuk diberikan sedikit pencerahan, kita sama-sama telusuri denai-denai ilmu yang mengalir ini.
Definisi :
Al-Qazwiniy berkata : Sandaran Berkias ini merupakan sandaran sesuatu kata kerja (fe'el) atau maksud kata kerja tersebut kepada suatu siratan/hubungkait yang dapat difahami melalui suatu tafsiran/takwilan.
Ketepikan dahulu definisi tersebut sekiranya sukar difahami. Insya Allah melalui contoh di bawah kita dapat memahaminya dengan jelas melalui hubungkait berikut.
Hubungkait :
1. Assababiyyah (Sebab)
Iaitu menyandarkan suatu kata kerja kepada sebabnya.
Contoh : Khalifah telah membina kota.
Sekiranya kita meneliti, individu yang membina kota bukanlah khalifah, tetapi buruh binaan. Namun disandarkan secara berkias kepada khalifah kerana terdapat hubungkait iaitu SEBAB arahan khalifahlah terbinanya kota tersebut.
2. Azzamaniyyah (Masa)
Iaitu menyandarkan kata kerja kepada masa tertentu.
Contoh : Siangnya berpuasa dan malamnya berjaga.
Bukanlah siang itu yang berpuasa dan malam yang berjaga, tetapi seorang abid itulah yang melakukannya. Disandarkan secara berkias kepada MASA untuk menunjukkan kepadatan MASA yang digunakannya.
3. Almakaaniyyah (Tempat)
Iaitu menyandarkan kata kerja kepada tempat tertentu.
Contoh : Sungai yang mengalir.
Adakah benar sungai itu mengalir? Tidak! Yang mengalir adalah air. Sungai kekal di situ. Disandarkan secara berkias kepada sungai kerana sungailah TEMPAT di mana air itu mengalir.
4. Almasdariyyah (Kata Terbitan)
Iaitu menyandarkan kata kepada kata terbitannya.
Contoh : Pendidikannya cukup mendidik jiwa.
Sebenarnya yang mendidik itu bukanlah pendidikan, tetapi individu tertentu. Disandarkan secara berkias kepada KATA TERBITANnya untuk menunjukkan rasa teruja.
Masih terdapat beberapa lagi hubungkait lain, insya Allah akan menyusul kemudian.
Wallahu A'lam