Dokumen Panduan Mata Pelajaran Usul al-Din KBD

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Usul al-Din adalah mata pelajaran elektif yang dilaksanakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh Malaysia. KSSM Usul al-Din digubal bagi memenuhi keperluan untuk membina akidah yang kukuh dan membentuk peribadi muslim yang memahami, mengamalkan dan menghayati Islam secara menyeluruh.

KSSM Usul al-Din memberi penekanan kepada aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan. Melalui mata pelajaran ini murid dibekalkan dengan pengetahuan asas tentang tauhid, tafsir, hadis, akhlak dan tasawuf serta sirah dan tarikh islamiah. Murid bukan sekadar dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, malah mereka dididik untuk mengamal dan menghayati ilmu yang dipelajari. Melalui mata pelajaran ini juga murid dibimbing untuk mampu membangunkan diri serta masyarakat berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

KSSM Usul al-Din ini juga digubal bagi melahirkan murid yang mampu mengintegrasikan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT. Murid juga dibimbing agar boleh menghubungkait antara ilmu aqli dan ilmu naqli untuk memberi sumbangan kepada tamadun umat. Bagi mencapai hasrat ini proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Untuk membolehkan murid dinilai dengan lebih autentik dan holistik pelbagai kaedah pentaksiran digunakan. Pentaksiran formatif dijalankan secara berterusan semasa pengajaran dan pembelajaran untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Pentaksiran sumatif dilaksanakan untuk menentukan tahap penguasaan dan pencapaian murid.

Adalah diharapkan melalui mata pelajaran KSSM Usul al-Din ini dapat melahirkan murid yang memahami, mengamalkan akidah yang benar dan menghayati Islam secara menyeluruh.

Dipetik daripada DSKP Usul al-Din
Terbitan Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM


Komponen Usul al-Din Tingkatan 1 hingga 5 :



Untuk muat turun DSKP, sila klik pada imej-imej di bawah:


Semoga bermanfaat.