Matan al-Bina : Siri 3

Insya Allah, kita sambung Siri Memahami Matan al-Bina dengan Bab 3. Semoga kita terus thabat dalam mempelajarinya.



Bab Ketiga
( No. 3, rujuk Jadual )

فعَل يفعَل
Ini adalah wazan iaitu Acuan.

Mauzun yang ditunjukkan adalah sebagai hasil/contoh. Antaranya ;

- فتح : buka
- ذهب : pergi
- منع : larang
- جعل : menjadikan
- قرأ : baca

Kalimah-kalimah di atas barisnya adalah sama dengan wazannya ketika madhi dan mudhori' kerana bagaimana acuan begitulah hasilnya.

Ciri-cirinya :

'Ain fi'il iaitu huruf 'ain pada wazan/acuan di atas mestilah ;

- berbaris fathah ketika madhi.

- juga berbaris fathah ketika mudhori'.

Syarat-syaratnya :

Mestilah huruf yang berada pada kedudukan 'ain fi'il ATAU lam fi'il itu merupakan salah satu daripada huruf halqi.


Huruf-huruf halqi terdapat enam iaitu ;
ح - خ - ع - غ - هـ - ء

Perhatikan pada kelima-lima contoh kalimah di atas, 'ain fi'il atau lam fi'ilnya merupakan huruf halqi.


Peranan :

- Juga kebiasaanya menunjukkan kepada muta'addi
- contoh : Zaid telah membuka pintu.

- Kadang-kadang menunjukkan kepada lazim
- contoh : Zaid telah pergi.

Apa itu muta'addi dan lazim ? Sila rujuk artikel lalu.

Bersambung.. Wallahu A'lam.

Siri terdahulu : Pengenalan | Siri 1 | Siri 2

Lagi...

Jantung Bukan Hati

Ramai yang keliru, al-qalb tu hati atau jantung? Sedari kecil lagi bahkan dah terpahat dalam benak kepala al-qalb itu kalbu ataupun hati. Terjadi masalah apabila Arab menyebut hati tu al-kabid, jantung tu pula al-qalb. Mana satu yang betul?

Ikuti penjelasan berikut ;

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

Hasil tulisan ; Dr. MAZA

Lagi...

[Qasidah] Wahai Taibah

Taibah suatu jolokan yang tidak asing lagi bagi bumi suci lagi barakah, al-Madinah al-Munawwarah. Di situlah taman syurga tempat bersemadinya jasad agung, Rasulillah s.a.w.

Lagi...

Matan al-Bina : Siri 2

Insya Allah, kita sambung Siri Memahami Matan al-Bina dengan Bab 2. Semoga kita dikurniakan kefahaman oleh Allah s.w.t.



Bab Kedua
( No. 2, rujuk Jadual )

فعَل يفعِل
Ini adalah wazan iaitu Acuan.

Mauzun yang ditunjukkan adalah sebagai hasil/contoh. Antaranya ;

- ضرب : pukul
- جلس : duduk
- غفر : ampun
- كسر : pecah
- رجع : pulang

Kalimah-kalimah di atas barisnya adalah sama dengan wazannya ketika madhi dan mudhori' kerana bagaimana acuan begitulah hasilnya.

Ciri-cirinya :

'Ain fi'il iaitu huruf 'ain pada wazan/acuan di atas mestilah ;

- berbaris fathah ketika madhi.

- berbaris kasrah ketika mudhori'.



Peranan :

- Juga kebiasaanya menunjukkan kepada muta'addi
- contoh : Zaid telah memukul Umar.

- Kadang-kadang menunjukkan kepada lazim
- contoh : Zaid telah duduk.

Apa itu muta'addi dan lazim ? Sila rujuk artikel lalu.

Bersambung.. Wallahu A'lam.

Siri terdahulu : Pengenalan | Siri 1

Lagi...

Angka di dalam al-Quran

Merenung sejenak beberapa petikan ayat-ayat suci yang mengandungi angka dan bilangan. Betapa hebatnya al-Quran. Mukjizat yang kekal hingga Qiamat.

Apa yang didatangkan di sini hanyalah sebagai contoh, kerana terdapat banyak lagi ayat-ayat yang mempunyai angka yang sama.

Untuk entri kali, ana datangkan angka 1 hingga 12. Insya Allah angka-angka lain akan menyusul.



Wallahu A'lam. Moga bermanfaat.

Lagi...

Matan al-Bina : Siri 1

Insya Allah, Siri Memahami Matan al-Bina ini dimulakan dengan Bab 1. Ana cuba sampaikan dalam bentuk yang paling simple dan mudah untuk difahami.

JadualTerlebih dahulu, satu carta akan dijadikan sebagai rujukan supaya kita nampak bagaimana kedudukan 35 bab dalam Matan al-Bina ini disusun. Sila klik untuk lebih jelas.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Ketahuilah bahawa Tasrif itu mengandungi 35 bab.

Enam daripadanya adalah Sulasi Mujarrad. Iaitu kalimah 3 huruf tanpa penambahan.



Bab Pertama
( No. 1 berdasarkan Jadual di atas )

فعَل يفعُل
Ini disebut sebagai wazan iaitu Acuan.

Mauzun yang ditunjukkan adalah sebagai hasil/contoh. Antaranya ;

- نصر : tolong
- خرج : keluar
- كتب : tulis
- أكل : makan
- سكن : tingal

Kalimah-kalimah di atas barisnya adalah sama dengan wazannya ketika madhi dan mudhori' kerana bagaimana acuan begitulah hasilnya.

Ciri-cirinya :

'Ain fi'il iaitu huruf 'ain pada wazan/acuan di atas mestilah ;

- berbaris fathah ketika madhi.

- berbaris dhommah ketika mudhori'.



Peranan :

- Kebiasaanya menunjukkan kepada muta'addi
- contoh : Zaid telah menolong Umar.

- Kadang-kadang menunjukkan kepada lazim
- contoh : Zaid telah keluar.

Maksud Muta'addi & Lazim

- Muta'addi : Kata kerja yang disertai bersamanya penyambut/objek ( maf'ul ) atau disebut sebagai kata kerja transitif.

- Lazim : Kata kerja yang dilakukan tanpa objek, bahkan berlaku ke atas pelaku itu sendiri atau disebut kata kerja tak transitif.

Bersambung.. Wallahu A'lam.

Siri terdahulu : Pengenalan

Lagi...

Matan Bina : Pengenalan

Kitab Matan Bina al-Af'al atau lebih terkenal dengan nama Matan Bina merupakan matan yang terkenal dalm Ilmu Sarf. Insya Allah, kita dalami dan memahami matan ini bersama-sama.

Sebagai pengenalan, bebarapa fakta berkaitan dengan matan ini :

1. Pengarangnya tidak diketahui secara tepat.

2. Dicetak sejak 1262.

3. Antara syarah kepada matan ini :

- Syarhul Bina oleh al-Kafawi

- al-Asas fi Syarhil Bina' oleh al-Qarah Aghaji.

4. Mengandungi 35 Bab.

Insya Allah, akan dibincangkan satu bab demi satu bab untuk setiap entri dan disiarkan pada setiap Ahad.

Bagi memudahkan capaian kepada artikel bersiri ini, ana letakkan pautan di sebelah kiri blog ni.

Sila muat turun kitab tersebut bagi memudahkan proses pemahaman.

download


Moga bermanfaat.

Lagi...

Teka Teki

Berlaku satu perbualan baru-baru ni. Tertarik untuk ana kongsi dengan semua pembaca. Ana tak pasti sama ada apa yang dilontarkan kepada ana itu satu kemusykilan atau "saja nak test".

Fulan : Ustaz, nak tanya sikit.

Penulis : Ya, tafaddhol.

Fulan : Kawan ana baru-baru ni tanya ana.
Dengar ayat ni :


كان محمد كريمٍ
Kana Muhammadun Karimin (majrur)


Jadi, ana tegur dia. Ana kata khabar kana mesti mansub.

كان محمد كريماً
Kana Muhammadun Kariman. (mansub)


Kemudian kawan ana tu gelak kat ana.
Dia kata ana ngaji tak habis lagi.
Ana tak puas hati, tu yang tanya ustaz ni.

Penulis : Dua-dua betul.
( mujur pernah terdengar teka-teki ni, hehe. Kalau tidak, tak tau la macam mana nak jawab )

Fulan : Kenapa pulak?

Penulis : Sebenarnya ayat di atas ada dua makna ;

Ayat pertama dengan mansub maknanya ;
Adalah Muhammad itu mulia.

Ayat kedua dengan majrur maknanya ;
Adalah Muhammad itu seperti kijang putih.

Huruf kaf = seperti
Rim = Kijang putih.

Jadi, ia majrur kerana huruf kaf adalah huruf jar.

Fulan : Ha ha ha!

Wallahu A'lam.

Lagi...

Pro & Kontra

Jika sebelum ni kita berbicara tentang Antonim, kali ini sama-sama kita mengenali satu tajuk yang tidak jauh bezanya iaitu Pro & Kontra atau di dalam Bahasa Arabnya disebut al-Muqabalah.

المقابلة

Definisi :

Suatu kalam yang datang dengan dua objek atau lebih dalam bentuk pro, disusuli dengan kalam yang datang dalam bentuk kontra secara tertib.

Mudah saja, jangan risau. Definisi memang macam tu, ngeri sikit.

Perhatikan saja contoh di bawah ;

Firman Allah Taala [al-A'raf : 157]

ويحل لهم الطيبات ويحرم عليهم الخبائث

Terjemahan : "Dan dihalalkan kepada mereka benda yang baik dan diharamkan ke atas mereka benda yang kotor"

Objek PRO :
- dihalalkan
- benda yang baik

Objek KONTRA :
- diharamkan
- benda yang kotor

Penjelasan : Bukankah halal lawannya haram? Bukankah yang baik lawannya kotor? Jadi di sini jelas bahawa didatangkan ayat pertama "dan dihalalkan kepada mereka benda yang baik" dalam bentuk PRO kemudian disusuli ayat kedua "dan diharamkan ke atas mereka benda yang kotor" dalam bentuk KONTRA.

Firman Allah Taala [at-Taubah : 82]

فليضحكوا قليلا وليبكوا كثيرا

Terjemahan : "Maka hendaklah kamu ketawa sedikit dan hendaklah kamu menangis banyak"

Objek PRO :
- ketawa
- sedikit

Objek KONTRA :
- menangis
- banyak

Kalau faham definisi, pasti dapat bezakan antara Antonim dengan Pro & Kontra. Alhamdulillah, sekiranya faham. Wallahu A'lam.

Lagi...