Kalimah 'tawriyah' agak biasa kita dengar. Namun sering disalahgunakan kerana disalahertikan ia sebagai suatu bentuk pembohongan. Sebagai memenuhi permintaan seorang sahabat yang meminta untuk dibincangkan berkenaan 'tawriyah' dan 'istikhdaam'. Tajuk 'istikhdaam' akan menyusul insya Allah.
Definisi Tawriyah :
Tawriyah merupakan satu tajuk di bawah 'Ilm Badii'. Tawriyah adalah penuturan kalimah yang mempunyai dua makna; dekat dan jauh. Yang dikehendaki oleh penutur adalah makna jauh.
Contoh Tawriyah :
1. Suatu kisah ketika Rasulullah s.a.w keluar untuk ke Badar, baginda disoal oleh orang tidak mengenali baginda ; مِمن أنتم ( dari kelompok mana kalian? ), lalu baginda menjawab ; مِن ماء ( dari Ma' ) dengan tujuan bagi mengelakkan identiti baginda diketahui.
Kalimah Ma' mempunyai dua makna ;
Dekat : Nama suatu kabilah Arab yang hebat yang ketika itu.
Jauh : Merujuk kepada air asal kejadian manusia.
2. Diriwayatkan bahawa ketika Baginda Nabi s.a.w keluar bersama Saidina Abu Bakr r.a untuk berhijrah. Mereka terserempak dengan satu kelompok manusia dan bertanya kepada Saidina Abu Bakr r.a ; مَن هذا ( siapakan ini? ). Saidina Abu Bakr r.a menjawab ; هَادٍ يهديني ( penunjuk yang menunjukkan aku ).
Kalimah Haadin mempunyai dua makna ;
Dekat : Bermaksud penunjuk jalan.
Jauh : Bermakna penunjuk jalan kebenaran.
Q : Bagaimana untuk kita menentukan di antara dua makna tersebut, yang manakah dekat dan manakah yang jauh?
A : Melihat kepada situasi atau soalan yang ditanyakan. Makna yang dekat adalah jawapan yang relevan kepada soalan yang diajukan walaupun makna dekat tersebut adalah tidak benar.
Q : Jika makna dekat adalah tidak benar secara realitinya, bukankan ia suatu bentuk penipuan?
A : Ia bukanlah suatu pembohongan kerana makna sebenar yang dikehendaki oleh penutur adalah makna jauh. Pendengar yang salah erti dalam situasi ini kerana memahami dengan makna dekat.
Ketahuilah, tawriyah adalah suatu seni dalam berbahasa. Dalam bahasa Melayu sendiri acapkali kita gunakan, 'double meaning' adalah cabangnya namun sering dilucahkan.
Wallahu A'lam.
Rujukan : 'Ilm Badii' oleh Dr. Basyuni Abdul Fattah Fayyud