Hadis : Gembira Dengan Taubat

Berlegar-legar di laman youtube, ditemukan dengan satu klip video yang amat menarik, Petikan Perumpamaan di Dalam Hadis Nabawi. Dengan klip video yang jelas menggambarkan bagaimana imagnasi yang diberikan dalam perumpamaan yang telah disebutkan oleh Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam.

Cuba kita teliti klip video dan kita fahami makna hadis tersebut.




عنْ عبدِ الله بن مَسْعود رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

للهُ أفرحُ بتوبةِ العبدِ مِن رجلٍ نزلَ مَنزِلا وبه مَهلكُه

ومعه راحِلتُه ، عليها طَعامُه وشَرابُه فوضعَ رأسَه فنام نومَه فاستَيقَظ ،

وقدْ ذهبتْ راحلتُه ، فطلبَها حتى إذا اشتدَّ عليه الحرُّ والعطَش ،

قال : أرجعُ إلى مكاني الذي كنتُ فيه ، فأنامُ حتى أموتُ ،

ثم رفعَ رأسَه فإذا راحلتُه عندَه ، عليها زادُه طعامُه وشرابُه ،

فالله أشدُّ فرَحا بتوبةِ العبدِ المؤمنِ من هذا براحلتِه وزادِه


متفق عليه

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a beliau berkata, Rasulullah sollallahu 'alai wa sallam bersabda :

"Allah Ta'ala itu lebih gembira dengan taubat hamba-Nya dibandingkan dengan seorang lelaki yang keluar bermusafir, bersamanya keperluan
serta tunggangannya ; juga makanan dan minuman. Kemudian dia berehat dengan meletakkan kepala lalu tidur keletihan. Dia bangun kemudiannya mendapati
tunggangannya telah tiada. Dia mencari-cari sehinggalah terasa terlalu panas dan amat dahaga.
Dia berkata : Aku mesti kembali ke tempat berehatku semula, kemudian aku akan tidur sehingga mati.
Kemudian dia mengangkat kepala lantas melihat tunggangannya ada di sisi, di situ jugalah bekalan makanan dan minumannya.
Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya yang mukmin dibandingkan lelaki ini dengan tunggangan dan bekalannya."


Ulasan :

Sekiranya kita tidak dipaparkan dengan klip video di atas, agak sukar untuk menghayati maksud hadis ini. Tetapi dengan klip video ini, kita tidak perlu lagi untuk berimaginasi bagaimana keadaaan lelaki tadi.

Kita hayati, bagaimana perasaan lelaki yang pada mulanya telah berputus asa. Hilang harapan untuk terus hidup. Kemudiannya ditemukan semula, bagaikan mati hidup semula. Gembira sungguh! Tiada kata mampu diucap melainkan kalimah syukur.

Ketahuilah, bahawa Allah itu lebih gembira sekiranya kita kembali kepada-Nya.
Ayuh, bertaubatlah wahai sahabat-sahabatku.

Indahnya bahasa dan perumpamaan ini. Terbit dari bibir manusia agung. Subhanallah!